Penggunaan pendekatan bahasa dalam proses penulisan dan pedagogi yang pelbagai dalam pengajaran sememangnya boleh merangsang pelajar untuk mencetuskan idea dan melahirkan kosa kata yang bermutu serta menambahkan keupayaan pelajar untuk menggunakan teknik penulisan bahasa dengan baik. Terdapat dua aspek yang dititikberatkan dalam penulisan bahasa, iaitu aspek hukum tatabahasa dan juga keindahan bahasa.


Terdapat enam perkara dalam hukum tatabahasa, iaitu:

1. Hukum D-M

(D) merujuk kepada diterangkan manakala (M) merujuk kepada menerangkan. Sesuatu perkara yang hendak diterangkan perlulah dinyatakan dahulu sebelum disusuli dengan perkataan yang menerangkan. Rujuk gambar di sebelah untuk melihat contoh.


2. Penanda wacana

Penanda wacana merupakan perangkai ayat untuk menentukan kesinambungan antara satu idea dengan satu idea yang lain dalam ayat atau perenggan. Karangan yang baik menggunakan penanda wacana yang sesuai kerana penggunaan penanda wacana yang sesuai boleh menjadikan sesebuah binaan ayat lebih gramatis, yang mampu mempengaruhi pengolahan, struktur ayat, pemerengganan, kosa kata dan bahasa. 


3. Tanda baca

Tanda baca berfungsi sebagai tatacara atau peraturan untuk membantu pelajar menyusun frasa dan klausa bersesuaian dengan idea yang hendak disampaikan dengan betul.


4. Ragam bahasa

Ragam bahasa merupakan variasi bahasa yang berasaskan pemakaian atau penggunaannya, terutamanya yang berkaitan dengan konteks dan situasi tertentu. Ragam bahasa boleh dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu:

i. Ragam bahasa formal yang digunakan dalam situasi rasmi. Ayat yang terbina merupakan ayat yang gramatis dan mementingkan aspek-aspek sebutan, pilihan perkataan, struktur ayat dan tatabahasa. Contohnya seperti bahasa baku dan bahasa istana.

ii. Ragam bahasa tidak formal yang digunakan dalam situasi tidak rasmi serta digunakan seharian. Dalam ragam ini selalunya wujud percampuran antara vahasa Melayu dengan bahasa Inggeris.


5. Laras bahasa

Laras bahasa bermaksud penggunaan bahasa mengikut bidang penggunaan, sama ada sains, ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan lain-lain. Laras bahasa membayangkan konteks penggunaan bahasa yang berdasarkan hubungan, bidang dan wahana.

Laras terbahagi kepada beberapa jenis, iaitu:

i. Laras umum

ii. Laras teknikal

iii. Laras undang-undang

iv. Laras agama

v. Laras klasik

vi. Laras kreatif

vii. Laras bahasa kanak-kanak

viii. Laras bahasa iklan


6. Kegramatisan

Kegramatisan dapat dilihat melalui dua aspek, iaitu dari aspek morfologi (perkataan atau kosa kata yang digunakan dalam penulisan karangan) dan juga aspek sintaksis (struktur ayat). 

Kaedah Penulisan Bahasa image
I BUILT MY SITE FOR FREE USING