Penulisan Karangan Fakta

Kaedah Pengajaran Penulisan Isi, Bahasa, dan Pengolahan


Yang Pipih Tak Datang Melayang, Yang Bulat Tak Datang Bergolek

Nama: Norashikin binti Jemat

D20171077646

Nama Pensyarah: Prof. Madya Dr. Adenan Ayob Jawatan: Penyelaras dan Pensyarah Kursus BMP3093, Fakulti Bahasa dan Komunikasi

Laman sesawang ini adalah kepunyaan seorang mahasiswi UPSI dalam jurusan Pendidikan Bahasa Melayu dengan kepujian, berumur 22 tahun, dan bakal bergraduasi pada 21 Julai 2021. Sebagai bakal guru Bahasa Melayu, saya yakin dan percaya bahawa pelajar yang baik datangnya dari pendidikan yang baik. Jadi saya berharap agar saya dapat menjadi guru Bahasa Melayu yang baik dan dapat mencurahkan seluruh bakti kepada bakal pelajar saya nanti, agar pelajar saya dapat menjadi pelajar yang berpengetahuan luas terutamanya dalam subjek Bahasa Melayu. In sha Allah.

Mengenai Saya image

Sebelum pelajar memulakan penulisan karangan, pelajar perlulah membaca soalan terlebih dahulu, kemudian mentafsir tajuk karangan tersebut sebelum merangka karangan. Pelajar perlulah mencari fakta dan isi yang terbaik. Pelajar boleh mengeluarkan pengalaman mereka dan juga melalui pembacaan yang lalu.



Klik untuk mengetahui Teknik IMBaKUP


Teknik KCH dalam penulisan perenggan penutup

1. Ayat kesimpulan isi-isi (penanda wacana penutup + kata kunci (punca / kesan / langkah) + tema)

Contoh: Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa beberapa langkah yang dapat diimpelmentasikan oleh (sasaran) ibu bapa untuk (tema) mewujudkan keluarga yang bahagia


2. Ayat cadangan (…perlulah / hendaklah / haruslah / seyogianya)

Contoh: Namun begitu, obligasi untuk menangani masalah jenayah di negara kita tidak seyogianya diletakkan atas pundak kerajaan sahaja. Oleh itu, semua pihak tanpa mengenal batasan usia dan warna kulit perlulah bersinergi ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk menangani masalah ini hingga akar umbi. / Kita haruslah berganding bahu dan menggembleng tenaga serta mempunyai semangat tinggi setinggi Gunung Everest, seluas Banjaran Himalaya, sedalam Jurang Mariana dalam membendung isu ini daripada membarah sebelum terlewat kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.


3. Ayat harapan. Contoh:

i. Komitmen padu daripada semua pihak diharapkan impian untuk mencapai visi kudsi negara iaitu Wawasan 2020 tidak akan menjadi omongan kosong dan angan-angan Mat Jenin.

ii. Diharapkan impian negara untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang akan menjadi realiti dan nama negara akan sentiasa gah di pentas dunia.

iii. Jika perpaduan dapat dipupuk maka impian negara untuk mencapai Gagasan Satu Malaysia akan menjadi kenyataan dan sekali gus Wawasan 2020 dapat dicapai dengan mudah untuk memastikan Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggidengan negara-negara gergasi di persada antarabangsa.

iv. Hubungan ukhuwah antara semua pihak dapat merealisasikan impian untuk mencapai tahap negara kelas pertama seperti kata falsafah Confusius, apakah gunanya sekiranya kita tidur sebantal tetapi mimpi kita lain-lain, lebih baik kita tidur bantal yang berlainan, tetapi mimpi kita tetap sama.

v. Wahai anak watan Malaysia, sahutlah cabaran dan hadapilah dengan semangat habis kapak berganti beliung (semangat rajin bekerja) / biar putih tulang, jangan putih mata(semangat berjuang bersungguh-sungguh) untuk menunaikan impian nusa tercinta ini ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang! Malaysia Boleh!

Penggunaan pendekatan bahasa dalam proses penulisan dan pedagogi yang pelbagai dalam pengajaran sememangnya boleh merangsang pelajar untuk mencetuskan idea dan melahirkan kosa kata yang bermutu serta menambahkan keupayaan pelajar untuk menggunakan teknik penulisan bahasa dengan baik. Terdapat dua aspek yang dititikberatkan dalam penulisan bahasa, iaitu aspek hukum tatabahasa dan juga keindahan bahasa.


Terdapat enam perkara dalam hukum tatabahasa, iaitu:

1. Hukum D-M

(D) merujuk kepada diterangkan manakala (M) merujuk kepada menerangkan. Sesuatu perkara yang hendak diterangkan perlulah dinyatakan dahulu sebelum disusuli dengan perkataan yang menerangkan. Rujuk gambar di sebelah untuk melihat contoh.


2. Penanda wacana

Penanda wacana merupakan perangkai ayat untuk menentukan kesinambungan antara satu idea dengan satu idea yang lain dalam ayat atau perenggan. Karangan yang baik menggunakan penanda wacana yang sesuai kerana penggunaan penanda wacana yang sesuai boleh menjadikan sesebuah binaan ayat lebih gramatis, yang mampu mempengaruhi pengolahan, struktur ayat, pemerengganan, kosa kata dan bahasa. 


3. Tanda baca

Tanda baca berfungsi sebagai tatacara atau peraturan untuk membantu pelajar menyusun frasa dan klausa bersesuaian dengan idea yang hendak disampaikan dengan betul.


4. Ragam bahasa

Ragam bahasa merupakan variasi bahasa yang berasaskan pemakaian atau penggunaannya, terutamanya yang berkaitan dengan konteks dan situasi tertentu. Ragam bahasa boleh dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu:

i. Ragam bahasa formal yang digunakan dalam situasi rasmi. Ayat yang terbina merupakan ayat yang gramatis dan mementingkan aspek-aspek sebutan, pilihan perkataan, struktur ayat dan tatabahasa. Contohnya seperti bahasa baku dan bahasa istana.

ii. Ragam bahasa tidak formal yang digunakan dalam situasi tidak rasmi serta digunakan seharian. Dalam ragam ini selalunya wujud percampuran antara vahasa Melayu dengan bahasa Inggeris.


5. Laras bahasa

Laras bahasa bermaksud penggunaan bahasa mengikut bidang penggunaan, sama ada sains, ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan lain-lain. Laras bahasa membayangkan konteks penggunaan bahasa yang berdasarkan hubungan, bidang dan wahana.

Laras terbahagi kepada beberapa jenis, iaitu:

i. Laras umum

ii. Laras teknikal

iii. Laras undang-undang

iv. Laras agama

v. Laras klasik

vi. Laras kreatif

vii. Laras bahasa kanak-kanak

viii. Laras bahasa iklan


6. Kegramatisan

Kegramatisan dapat dilihat melalui dua aspek, iaitu dari aspek morfologi (perkataan atau kosa kata yang digunakan dalam penulisan karangan) dan juga aspek sintaksis (struktur ayat). 

Kaedah Penulisan Bahasa image

Keindahan berbahasa (Peribahasa)

Untuk membina sebuah karangan yang baik, pelajar selalunya akan meletakkan beberapa peribahasa yang bersesuaian dengan perkara yang hendak dibincangkan. Penggunaan peribahasa dalam penulisan karangan menunjukkan seseorang pelajar matang dalam penulisan, dan juga menunjukkan seseorang pelajar itu mengetahui peribahasa-peribahasa yang bersesuaian dengan perkara yang dibincangkan. Dalam konteks ini, menjadi kewajipan kepada seseorang pelajar untuk mengetahui peribahasa-peribahasa tertentu kerana perkara tersebut membolehkan pelajar untuk memasukkan elemen peribahasa dalam penulisan karangan agar karangan tersebut lebih gramatis. Berikut merupakan beberapa contoh peribahasa yang sesuai untuk dimasukkan dalam karangan pelajar tingkatan 4.

Perancangan sebelum membina karangan

Perancangan sebelum membina karangan

Bahagian ini akan membincangkan perancangan yang boleh dilakukan oleh pelajar sebelum membina karangan.

Read More  
Formula penulisan karangan

Formula penulisan karangan

Bahagian ini akan menerangkan mengenai formula penulisan karangan fakta SPM

Read More  
Contoh penulisan menggunakan formula karangan

Contoh penulisan menggunakan formula karangan

Bahagian ini akan memberi beberapa contoh penulisan perenggan mengikut formula karangan.

Read More  
Pemerengganan

Pemerengganan

Bahagian ini akan menerangkan aspek pemerengganan dalam penulisan karangan.

Read More  

Diubahsuai daripada karangan nukilan Norfaezah bt. Mohd. Nozani  ( Pelajar Tingkatan 4 Ibnu Sina )

Soalan : Dalam karangan masyarakat Malaysia, pantun merupakan puisi tradisional yang masih kekal sehingga ke hari ini. Bincangkan keistimewaan pantun dan peranannya dalam masyarakat Melayu.

Busana indah bertata suasa,
Menari puteri di dalam taman,
Pantun lambang budaya bangsa,
Takkan hilang ditelan zaman.

Rangkap pantun di atas menggambarkan pantun sebagai satu lambang keistimewaan mayarakat Melayu. Pantun merupakan seni bangsa yang telah diperturunkan daripada generasi terdahulu kepada generasi pasca kemerdekaan ini. Pantun yang kaya dengan seni kata yang halus dan irama yang indah turut melambangkan kehebatan dan kepakaran masyarakat Melayu dalam bidang berbahasa. Marcapada, puisi tradisional kini turut dipertahan dan diberi penekanan oleh golongan pencinta ilmu agar tidak terhakis dibawa arus perubahan zaman yang rakus menelan budaya Melayu dari bangsanya. Justeru, komponen sastera yang diperkenalkan dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu merupakan usaha bijak pandai kita agar pendedahan sedari usia rebung pasti mampu memupuk kecintaan pelajar atau generasi muda terhadap kemahiran berbahasa terutamanya kemahiran berpantun. Bukan itu saja, malah harapan kita agar generasi sekarang juga diharapkan mampu mencipta hasilan pantun seperti generasi nenek moyang kita sebelumnya. Seterusnya, diharapkan kesenian berbahasa ini akan menjadi budaya masyarakat bangsa dalam setiap aktiviti harian sama ada ketika berkomunikasi secara umum ataupun formal. Jelasnya, kenenian berbahasa menggunakan pantun sebagai wahana komunikasi antara masyarakat mempunyai pelbagai keistimewaan dan peranannya.

Mari kita bersama-sama memfokuskan lensa perbincangan ke arah horizon minda pelajar kelas pertama dengan membicara kata kunci pertama iaitu fungsi pantun sebagai wahana penyampaian rasa penghargaan dan terima kasih kepada seseorang. Masyarakat Melayu yang sememangnya terkenal dengan sikap suka menghargai dan berterima kasih atas sumbangan dan jasa orang lain. Antara hasilan pantun generasi terdahulu yang masih diaplikasi masayarakat sehingga kini terpapar melalui pantun seperti di bawah,
Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.


Justeru, penggunaan pantun sebagai alat untuk menyampaikan rasa penghargaan dan ucapan terima kasih seperti tergambar dalam pantun di atas memaparkan kehalusan budi bangsa Melayu sesuai dengan pepatah Melayu iaitu harimau mati meninggalkan belang, manusia matiu meninggalkan nama. Ucapan terima kasih melalui penggunaan pantun yang selalunya digunakan dalam ucapan semasa acara rasmi, atau dalam perbualan seorang rakan dengan rakan memang meninggalkan impak yang besar kepada pendengarnya. Ucapan dengan penggunaan pantun ini boleh berlaku apabila seseorang itu menghulurkan bantuan sama ada kewangan, tenaga atau usaha membantu orang lain dalam meringankan bebanan kerja, memberikan idea dalam menyelesaiakan masalah, memberikan nasihat dan sebagainya. Secara langsung, penggunaan pantun dalam menyampaikan penghargaan terima kasih ini dapat melahir dan menyemaikan bibit-bibit kasih sayang antara pengguna atau penutur bahasa. Tuntasnya, pantun menjadi wadah dan wahana dalam menyampaikan rasa penghargaan dan terima masih seseorang dalam kehidupan bermasyarakat.

Seterusnya, mari kita selusuri fokus lensa perbincangan menggunakan minda pelajar kelas pertama mengenai peranan pantun dan keistimewaannya dengan kata kunci kedua iaitu pantun juga boleh diguna pakai sebagai medan media berkomunikasi dalam menyampaikan sesuatu maklumat kepada masyarakat. Sebagai contoh, kita sering melihat iklan yang dipaparkan di kaca televisyen menggunakan pantun sebagai medium komunikasi mereka. Usaha murni media massa menggunakan pantun sebagai alat menyampaikan pesanan atau nasihat amat dipuji kerana dengan aplikasi pantun berkenaan dalam media akan membangkitkan rasa kecintaan masyarakat terhadap fungsi pantun dalam kehidupan dan secara langsung mereka tidak akan lupa akan peranan pantun dalam kehidupan seharian serta tidak melupakan identiti bangsa mereka. Di samping itu, media komunikasi tidak kira media cetak ataupun media elektronik boleh menggalakkan masyarakat mengaplikasi pantun dalam kehidupan mereka sama ada semasa berinteraksi atau berhubung melalui komunikasi berbahasa ataupun melalui tulisan. Antara contoh, media massa seperti radio dan televisyen menyiarkan rancangan berbalas pantun sama ada secara tertutup mahupun secara siaran langsung dalam rancangan mereka. Langkah ini juga patut dipuji kerana golongan yang meminati siaran eletronik ini antaranya golongan remaja dan mereka inilah bakal pemimpin dan merupakan aset negara. Bahkan juga, penggunaan pantun dalam kehidupan boleh menjadi bahan untuk hiburan dan jenaka kerana pantun sering mendapat perhatian dalam kalangan penghibur negara terutama dalam rancangan realiti televisyen sekarang seperti Super Spontan, Maharaja Lawak, Karott Komedia X, dan sebagainya mencuri tumpuan peminat dalam kalangan masyarakat. Tamsilnya, pabila masyarakat menonton rancangan seperti ini mereka akan dapat melupakan sementara rasa sedih dan stress mereka setelah bergulamang dengan kerjaya pada sebelah siangnya. Sebagai nasihat, dalam berhibur ciri-ciri pantun sebagai puisi lama tidak perlu diabaikan kerana di situlah erti keindahan dan keunikan berbahasa yang ditinggalkan oleh generasi dahulu kepada kita. Tegasnya, masayarakat tidak perlu memandang rendah peranan pantun dalam kehidupan mereka kerana pantun berperanan sebagai penyampai maklumat dan juga sumber hiburan yang mengasyikkan.

Darsawarsa, segelintir masyarakat kita, terutama masyarakat Melayu alpa kerana meminggir dan tidak menghargai tradisi pantun sebagai satu medium atau wahana untuk menyindir dan menempelak sesorang tanpa menyinggung perasaan pendengar. Kita sedia maklum, masyarakat Melayu terkenal dengan sifat berbudi bahasa dan sentiasa menjaga akhlak semasa berkomunikasi. Hal ini kerana setiap individu tidal lari daripada melakukan kesalahan sama ada secara sengaja atau sebaliknya sehingga menggores perasaan orang di sekeliling mereka. Justeru, pabila kita berbalik kepada generasi nenek moyang kita dahulu, mereka cenderung menggunakan pantun dalam menyindir atau menempelak sesorang. Dengan cara sedemikian, pendengar atau orang yang dilawan bercakap tidak akan berasa pedihnya sindiran berkenaan berbanding jika disampaikan dengan cara terus terang. Contohnya boleh kita lihat melalui pantun berikut, "Berakit ke hulu dengan bergalah, buluh pecah terbelah dua, orang tua jangan dilangkah, kelak biadap dituduhnya pula." Pantun berkenaan jelas menunjukkan contoh cara golongan tua menyindir golongan muda yang sering menempelak golongan tua sama ada semasa bercakap atau semasa memberi nasihat kerana orang tua lebih banyak makan garam. Berbanding sekiranya dalam menempelak atau menyindir seperti berkata, " Diam, jangan melawan cakap orang tua", menunjukkan seseorang terus menghalang orang lain bersikap biadap dengan orang tua. Sekiranya berlaku situasi sedemikian, sudah pasti golongan muda yang mendengar kata-kata seperti itu akan tersinggung dan akibatnya hubungan mereka akan menjadi renggang.Situasi ini sering berlaku dalam alaf milenium ini kerana golongan remaja sekarang lebih suka berterus terang semasa berbual dengan rakan-rakan sebaya, dan sudah pasti ada kalanya sikap ini akan mengundang padah seperti berlakunya pertengkaran dan perkelahian. Tegasnya, masyarakat terutama golongan remaja boleh menggunakan pantun apabila cuba untuk menempelak atau menyindir rakan sebaya kerana penggunaan pantun akan melembutkan maksud teguran berbanding jika teguran itu dizahirkan secara berterus terang.

Mari kita lebarkan fokus lensa perbincangan kepada kata kunci peranan pantun dalam adat istiadat orang Melayu . Masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan sikap mengutamakan adat dalam upacara seperti merisik, pertunangan dan perkahwinan. Dalam majlis seperti rombongan merisik kebiasaannya ahli keluarga akan memilih golongan tua daripada keluarga mereka menjadi orang utama dalam majlis seperti disebutkan di atas. Kebiasaannya, orang paling utama dalam acara seperti tersebut dipilih dalam kalangan ahli keluarga yang petah berkata-kata dan kaya dengan kesenian berpantun. Selalunya, pantun akan digunakan sebagai mukadimah atau pembuka kata sebagai tanda meminta kebenaran sebelum aktiviti selanjutnya dijalankan semasa upacara merisik, pertunangan dan perkahwinan. Dalam berpantun kebiasaannya ketua rombongan akan cuba untuk menyampaikan hasrat rombongan keluarga mereka dan selalunya ke rumah gadis yang menjadi pilihan ahli keluarga lelaki. Selalunya, pantun yang dikemukan akan dibalas oleh keluarga gadis. Sebagai contoh pantun berkenaan seperti di bawah:-

Tok Sami ke teluk Lipat,
Kain batik dibawa Salma,
Datang kami membawa hajat,
Kalau sudi minta diterima.

Dari Pauh singgah Permatang,
Singgah merapat papan kemudi,
Dari jauh saya datang,
Kerana tuan yang baik budi.

Pantun seperti di atas, biasanya dipertuturkan semasa adat merisik, pertunangan atau perkahwinan yang mengambar orang Melayu sentiasa berkomunikasi secara bersopan dalam acara tertentu. Tegasnya, budaya masyarakat Melayu begitu unik dan kaya dengan kesenian bahasa antara kemahiran berpantun dalam upacara adat.

Selain itu, pantun juga sering digunakan sebagai usaha untuk memberi tunjuk ajar atau nasihat kepada seseorang. Nasihat dan tunjuk ajar ini kebiasaannya diajukan kepada setiap lapisan masyarakat tidak kira usia muda atau tua. Pada zaman dahulu, orang tua-tua sering mengutamakan pantun sebagai usaha untuk memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada anak-anak atau golongan remaja kerana dengan cara tersebut teguran dan nasihat yang hendak disampaikan secara lebih bersopan. bahkan juga, dengan penggunaan pantun teguran dan tunjuk ajar dapat disampaikan tanpa menggores perasaan golongan yang menjadi sasarannya. Contoh pantun nasihat seperti di bawah:-

Pergi ke pantai berkereta coklat,
berdayung sampan hingga ke malam,
Firman Tuhan tutuplah aurat,
Menjadi kewajipan wanita Islam.

Berdasarkan pantun di atas, pemantun cuba menasihatkan golongan hawa agar sentiasa menutup aurat mereka kerana perkara tersebut sudah menjadi kewajipan kaum wanita di sisi Tuhan. Jelasnya, melalui pantun seperti diatas nasihat yang disampaikan secara lembut dan tidak berbentuk keras dalam bentuk paksaan walaupun perkara berkenaan adalah wajib dilaksanakan kaum perempuan. Berbanding dengan situasi remaja sekarang lebih suka membuat teguran secara terus terang sehingga menyebabkan timbul perasaan tidak senang dalam kalangan mereka. Adakalanya, cara teguran disampaikan menyebabkan hubungan antara mereka akan renggang malah ada juga yang mencetuskan perkelahian kerana ada yang berpendapat soal menutup aurat adalah soal peribadi. Tegasnya, pantun amat signifikan untuk memberikan nasihat dan teguran kerana cara ini lebih lembut dan bersopan.

   Akhirulkalam, sudah terang lagi bersuluh bahawa pantun sememangnya banyak kelebihan dan keistimewaannya tersendiri. Antara, pantun berfungsi sebagai hiburan, berguna dalam adat istiadat, sebagai nasihat, menempelak dan sebagainya. Sebagai penerus generasi terdahulu, kita bukan sahaja perlu menghargai keunikan dan kesenian pantun Melayu, malah lebih jauh lagi kita perlu mempertahan dan seterusnya membudaya tradisi penggunaan pantun dalam kehidupan seharian agar tidak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas dibawa arus zaman yang serba ligat dengan kemodenan zaman milineum ini. Justeru, kita sebagai perwaris bangsa perlu bekerjasama ibarat aur dengan tebing, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat dalam usaha untuk terus memartabat dan memperkasakan pantun sebagai satu wahana dan mideum komunikasi sopan antara masyarakat Melayu yang terkenal dengan budi bahasanya. Oleh sebab itu, ternyatalah keistimewaan pantun dan peranannya dalam masyarakat tidak dapat dipertikaikan.


Contoh karangan pelajar 


Pengetahuan Teknologi Pedadogi Kandungan (PTPK)

Penggunaan PTPK dalam proses pengajaran dan pembelajaran akan menyebabkan sistem pendidikan berjalan lebih lancar. Pengajaran yang berkualiti memerlukan pemahaman mengenai hubungan antara teknologi, kandungan dan pedagogi, dan menggunakan pemahaman ini untuk membangunkan strategi dan perwakilan konteks khusus yang sesuai dalam pengajaran. Pengetahuan Pedagogi Kandungan (PPK) ini dapat dilihat melalui pengajaran penulisan karangan fakta menerusi video. Pengetahuan Teknologi Pedagogi (PTP) pula dapat dilihat melalui penggunaan komputer dan video dalam pengajaran yang memudahkan guru tanpa perlu menulis semua perkara di papan putih. Pengetahuan Teknologi Kandungan (PTK) pula lebih kepada pengumpulan maklumat dengan menggunakan teknologi. Misalnya, kemudahan internet dan laman sesawang membolehkan pelajar untuk mengakses maklumat seperti video pembelajaran dengan mudah.

     Berikut merupakan contoh video pembelajaran mengenai teknik menulis karangan yang dapat digunakan oleh guru untuk proses pengajaran dan pembelajaran agar lebih berkesan.

Kesimpulannya, penulisan karangan fakta ini tidak memerlukan format yang spesifik, namun penulisan karangan haruslah berdasarkan kepada formula karangan yang telah ditetapkan agar karangan yang dihasilkan lebih gramatis dari segi struktur ayatnya. Pelajar seharusnya membaca lebih banyak contoh karangan pelajar lain khususnya karangan yang dikategorikan sebagai karangan terbaik kerana menerusi perkara ini, pelajar dapat menambah kosa kata baharu, dan juga sebagai pengetahuan baharu berkenaan cara penghasilan karangan yang mantap. Saya berharap agar pelajar sentiasa peka terhadap isu semasa kerana kebanyakan karangan pelajar khususnya pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diambil berdasarkan isu semasa.

Bismillahirahmanirahim..

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan rahmat serta nikmat masa, nyawa dan tenaga yang dianugerahkan kepada saya untuk menyiapkan tugasan ini dengan jayanya.

Saya ini mengucapkan ucapan terima kasih kepada pensyarah iaitu Prof. Madya Dr. Adenan bin Ayob kerana memberikan tunjuk ajar serta bimbingan untuk  menyiapkan tugasan ini.

Saya juga ingin mengucapkan ucapan terima kasih kepada ibu saya kerana dorongan dan sokongan sepanjang menyiapkan tugasan ini. Terima kasih atas doa yang dikirimkan kepada saya ini.

Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan saya yang telah membantu memberikan peringatan serta menjawab setiap pertanyaan yang diutarakan kepada mereka.

Akhir sekali ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung sepanjang membuat kerja kursus ini.

 Sekian, terima kasih.

Cikgu Anelyza (2014). Panduan Menulis Perenggan Penutup yang beralamat di http://anelyza.blogspot.com/2014/01/panduan-menulis-perenggan-penutup.html

Izwan Rahim (2016). Jenis-Jenis Perenggan Deduktif Induktif dan Gabungan yang beralamat di https://www.academia.edu/6498225/JENIS-JENIS_PERENGGAN_DEDUKTIF_INDUKTIF_dan_GABUNGAN

Panitia bahasa Melayu (2009). Kesalahan Tatabahasa dalam Penulisan Karangan. Kuala Lumpur: SMK (L) Methodist yang beralamat di http://mbsskl.edu.my/panitia_bm/2009/02/25/kesalahan-tatabahasa-dalam-penulisan-karangan/ 

Portal Laman Bahasa Cikgu Q, bahasa Jiwa Bangsa yang beralamat di https://qcikgubm.blogspot.com/2017/08/teknik-imbakup-dalam-menghasilkan.html

Portal Sistem Guru Online (2018). Teknik Menulis Karangan yang beralamat di https://www.sistemguruonline.my/2017/04/karangan.html

Ruzina Amrun (2011). Tatabahasa dalam Pengajaran Bahasa Melayu. Cheras, Kuala Lumpur: Pusat Pembelajaran Institut Perguruan Teknik  yang beralamat di https://www.slideshare.net/hajimeTMasia/tatabahasa-dalam-pengajaran-bahasa-melayu 

Siti Noor Faezah Muda (2016). Bongkar Teknik Menulis Karangan Bahasa Melayu Yang Ohsem Ini Didedah Pelajar Cemerlang SPM. Portal Pilihan Guru Pelajar Sekolah: GPS Bestari yang beralamat di https://www.gpsbestari.com/tip/tip-mengajar/bongkar-teknik-menulis-karangan-bahasa-melayu-yang-ohsem-ini-didedah-pelajar-cemerlang-spm-1.655263

Sulaiman Masri (1998) Penulisan dalam Bahasa Melayu Baku. Selangor:  Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wanarizman (2016). Teknik dan Prosedur Menulis Karangan yang beralamat di https://www.slideshare.net/wanarizwan/bab-6-teknik-dan-prosedur-menulis-karangan

Zaleha Ahmad. Kemahiran Menulis Peringkat Kemahiran Sekolah Rendah yang beralamat di https://malaylanguagecentre.moe.edu.sg/qql/slot/u181/Khazanah%20Ilmu/Program%20Persidangan%20Serantau/37.Zaleha_Kemahiran_Menulis_Peningkatan_Kemahiran_Sekolah_Rendah_Park_View_Final.pdf

http://nasa76.tripod.com/wacana.htm

http://tatabahasabm.tripod.com/tata/tbaca.htm


I BUILT MY SITE FOR FREE USING